10 Tugas dan Tanggung-Jawab Rasulullah saw:
[1] Mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah sahaja.
Antara tugas pertama yang diamanahkan kepada Rasulullah saw adalah mengajar manusia untuk mentauhidkan Allah.
Allah menurunkan ayat berikut kepada Rasulullah untuk beliau katakan dan ajarkan kepada manusia:
"Katakanlah (wahai Muhammad), (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya."
[QS al-Ikhlas: 1-4]
[2] Membawa al-Qur’an untuk manusia.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya."
[QS az-Zumar: 41]
[3] Membacakan al-Qur’an kepada manusia.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (al-Qur’an)."
[QS ‘Ali Imran: 164]
Membaca di sini bererti menyampaikan secara lisan ayat-ayat al-Qur’an. Sepertimana yang kita tahu, al-Qur’an dibawa oleh malaikat Jibrail as kepada Rasulullah seorang sahaja. Setiap kali Jibrail turun membawa ayat atau ayat-ayat, Rasulullah akan bacakan ayat tersebut kepada kaumnya. Di kalangan mereka ada yang mencatitnya manakala yang lain menghafalnya.
[4] Membersihkan manusia dari dosa dan kemungkaran.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka."
[QS ‘Ali Imran: 164]
Membersihkan bermaksud menyucikan roh dan jiwa manusia yang dipenuhi dosa akibat dari kekotoran syirik, mempertuhankan taghut – yakni segala yang dijadikan tuhan selain dari Allah, keyakinan kurafat, tahayul dan pelbagai lagi yang menjadi akidah dan pegangan umat di zaman jahiliyah dahulu. Termasuk juga dalam pembersihan ini adalah pendidikan rohani, pembentukan akhlak murni, mendisiplinkan nafsu dan syahwat, menghindar maksiat dan kemungkaran dan pelbagai lagi kotoran yang menguasai manusia pada ketika itu.
[Fii Zhilali Qur’an, jld 1, ms.303-304]
[5] Mengajar dan menerangkan al-Qur’an.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran)."
[QS ‘Ali Imran: 164]
Maksud mengajar al-Qur’an bukanlah cara-cara membaca dan mentilawahkannya kerana orang ramai ketika itu sedia mengetahui bahasa Arab, tetapi adalah mengajarkan maksud ayat-ayat dan cara-cara mengamal serta mempraktikkannya (hadis).
[6] Menerang, menghurai dan memperincikan al-Qur’an.
Firman Allah:
"Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."
[QS an-Nahl: 44]
Perkataan supaya engkau menerangkan adalah terjemahan dari perkataan "litubayyina" yang berasal dari kata al-bayyan. Ia bermaksud menerangkan, menghuraikan dan memperincikan sesuatu dari pokoknya. Maka apabila Allah menugaskan Rasulullah sebagai mubayyin al-Qur’an, ia bererti beliau ditugaskan untuk menerangkan, menghuraikan dan memperincikan al-Qur’an.
[Mustafa as-Sibai al-Hadits sebagai Sumber Hukum, ms.228]
Contohnya al-Qur’an memfardhukan solat maka tugas Rasulullah adalah menerangkan apakah itu solat, menghuraikan hukum-hukumnya dan memperincikan sifat-sifatnya.
Ayat ini juga jelas menolak dakwaan bahawa tugas Rasulullah adalah hanya sekadar seorang posmen kerana Allah telah menggunakan istilah Litubayyina dan bukannya Balagh atau Mubaligh yang bererti sampaikan atau penyampai.
[7] Mengajar al-Hikmah, iaitu segala ilmu-ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam al-Qur’an.
Terdapat dua ragam dan pola susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an.
[Ibnu Qayyim Madarij as-Salikin, ms.330-331. Muhammad Uwais an-Nadwi – Tafsir Ibnu Qayyim: Tafsir Ayat-ayat Pilihan, ms.263-264]
Ragam pertama adalah apabila perkataan al-Hikmah berdiri dengan sendirinya. Ia memiliki beberapa erti seperti sifat-sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan syari’at agama, setiapnya bergantung kepada konteks perbincangan ayat. Berikut dikemukakan beberapa contoh:
"Dan Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan al-Hikmah (pangkat kenabian-nubuwah) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya."
[QS al-Baqarah: 251]
"Allah memberikan al-Hikmah (kebijaksanaan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan al-Hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."
[QS al-Baqarah: 269]
"Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa al-Hikmah (syari’at agama), dan untuk menerangkan kepada kamu, sebahagian dari (perkara-perkara agama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku."
[QS az-Zukhruf: 63]
Ragam kedua adalah apabila perkataan al-Hikmah
digandingkan dengan al-Kitab,iaitu al-Kitab dan al-Hikmah.
Contohnya ialah ayat-ayat berikut:
"Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: al-Kitab dan al-Hikmah, dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar."
[QS an-Nisa’: 54]
"Dan Allah telah menurunkan kepadamu (Muhammad) Kitab (Al-Quran) serta al-Hikmah."
[QS an-Nisa’: 113]
"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan al-Hikmah."
[QS ‘Ali Imran: 164]
Dalam ragam kedua ini, perkataan al-Hikmah bererti segala sumber syari’at, ilmu dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci (al-Kitab). Ini adalah kerana Allah tidak akan membicarakan dua perkara yang sama dengan dua istilah yang berbeza melainkan yang dimaksudkan oleh-Nya adalah dua perkara yang berbeza juga. Demikian juga, al-Quranul Karim dengan segala kemukjizatan dan kekayaan bahasanya tidak akan merujuk kepada dua objek yang sama dengan dua istilah yang berlainan melainkan yang dirujuki adalah dua subjek yang berlainan juga.
Oleh itu al-Hikmah bukanlah bererti al-Kitab atau kitab suci yang diturunkan oleh Allah dari langit kepada para RasulNya tetapi ia adalah segala sumber syari’at, ilmu, dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci. Segala apa yang disampaikan oleh para Rasul Allah tentang al-Hikmah, baik ia dalam bentuk lisan, praktikal atau pengiktirafan, itulah yang dikenali sebagai as-Sunnah.
Para Rasul Allah yang diberikan al-Kitab juga diberikan al-Hikmah (an-Nisa’: 54) dan ini termasuklah Rasul Allah yang terakhir Muhammad (an-Nisa’: 113).
Baginda bukan sahaja diberi al-Hikmah tetapi ditugaskan untuk mengajar al-Hikmah tersebut kepada umatnya (‘Ali Imran: 164).
Selain dua ragam utama di atas tentang susunan perkataan al-Hikmah dalam al-Qur’an, terdapat satu susunan lain yang sedikit berbeza, iaitu dalam ayat:
"(Ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; Dan ketika Aku mengajarmu al-Kitab, dan al-Hikmah dan Kitab Taurat dan Kitab Injil."
[QS al-Maidah: 110, ‘Ali Imran: 48]
Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Dia telah mengajar Nabi Isa as empat perkara:
[1] al-Kitab,
[2] al-Hikmah,
[3] Taurat dan
[4] Injil.
Memandangkan Taurat dan Injil adalah dua kitab suci yang Allah turunkan dari langit, maka perkataan al-Kitab yang pertama tidak bererti kitab suci juga, tetapi ia bererti tulisan. Ini adalah kerana perkataan al-Kitab memiliki beberapa erti dalam bahasa Arab dan dalam konteks susunan dan perbincangan ayat di atas, ia bererti kebolehan menulis dalam usia masih bayi yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Isa as.
Ini adalah sebagaimana kebolehan berkata-kata yang dikurniakan Allah kepada baginda dalam usia bayinya.
[Fakh-ur-Razi – Tafsir al-Kabir, jld 3, ms.226 dan jld 4, ms.409; al-Mawarzi – an-Nukatu al-‘Uyun, jld 2, ms.79; al-Qasimi – Mahasin at-Takwil, jld 4, ms.292; HAMKA – Tafsir al-Azhar, jld 3, ms.1917]
Perkataan al-Hikmah pula bererti sifat kenabian (nubuwah), kebijaksanaan dan ilmu-ilmu agama yang diajarkan Allah kepada Nabi Isa. Termasuk dalam pengertian al-Hikmah ini ialah segala sumber syari’at, ilmu, dan perincian agama yang tidak terkandung dalam kitab suci Taurat dan Injil.
[8] Mengajar perkara-perkara baru yang sebelum itu tidak diketahui.
Firman Allah:
"Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui."
[QS al-Baqarah: 151]
Selain diamanahkan mengajar umat berkenaan urusan-urusan agama dalam al-Kitab dan al-Hikmah, selanjutnya Allah mengamanahkan Rasulullah mengajar umat hal-hal duniawi yang belum mereka ketahui.
Maksudnya adalah seperti yang diterangkan oleh Sa’id Hawa (1989M): Dahulu di zaman jahiliyah mereka (masyarakat Arab) adalah orang-orang bodoh, lalu dengan berkat risalah Muhammad – mereka menjadi orang-orang yang pintar dan berpengetahuan. Bahkan menjadi orang yang paling dalam pengetahuan, berhati lembut dan berbahasa paling jitu.
[Tafsir al-Asas, jld 1, ms.418]
Sayid Quthb (1966M) juga telah mengulas: Islam telah mengangkat mereka (umat Islam) dari lingkungan masyarakat Arab yang tidak mengetahui kecuali hal-hal yang sedikit dan berserakan yang hanya layak untuk kehidupan berkabilah di tengah padang Sahara.
Kemudian Islam menjadikan mereka sebagai umat yang memimpin manusia dengan penuh bijaksana, terarah, sangat piawai, tepat dan berpengetahuan.
[Fii Zhilali Qur’an, jld 1, ms 304. Yang dimaksudkan dengan penjelasan di atas adalah bagi umat Islam generasi awal]
[9] Merangsang umat untuk sentiasa berjihad menegakkan Islam.
Firman Allah:
"Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu dan (ingatlah) Allah amatlah besar kekuatan-Nya dan amatlah berat azab seksa-Nya."
[QS an-Nisa’: 84]
Ayat ini sekaligus menerangkan dua tugas Rasulullah saw:
i) berjihad menegakkan agama Islam sebagaimana firman Allah (an-Nisa’: 84).
Berdasarkan ayat ini ketahuilah bahawa Rasulullah tidak hanya ditugaskan sekadar mengajar al-Qur’an dan mendakwahkan Islam kepada manusia tetapi beliau juga ditugaskan dengan sesuatu yang lebih berat lagi membahayakan, iaitu mengangkat senjata di medan perang menegakkan Islam. Lebih dari itu tugas ini tetap dibebankan ke atas diri Rasulullah sekalipun baginda seorang diri sahaja, sebagaimana firman Allah: "… engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri."
Kewajipan berperang yang diperintahkan kepada Rasulullah dalam ayat ini sekali-lagi menafikan dakwaan bahawa baginda hanya memiliki peranan sebagai seorang posmen yang menyampaikan al-Qur’an sahaja.
Malah ayat ini secara jelas menonjolkan kegagahan diri Rasulullah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Fakh-ur-Razi: Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah adalah seseorang yang memiliki sifat yang gagah lagi yang paling bijaksana dalam urusan peperangan (kerana) tidaklah (Allah) akan memerintahkan demikian melainkan Rasulullah memang memiliki sifat-sifat tersebut (gagah dan bijaksana).
[Tafsir al-Kabir, jld 4, ms.157; Hamka dalam Tafsir al-Azhar, jld 2, ms.1329]
ii) diwajibkan ke atas diri Rasulullah dalam ayat di atas adalah mengerah dan mengajak umat Islam agar turut berperang sepertimana firman Allah: Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani).
[10] Menggubal hukum.
Firman Allah:
"Dia (Muhammad) menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka."
[QS al-A’raaf: 157]
Dalam ayat ini Allah menerangkan tugas dan kekuasaan Rasulullah menggubal hukum-hukum agama seperti menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang memudaratkan.
No comments:
Post a Comment