Institusi
Raja Dan Doktrin Syiah
Oleh: Dr.
Azwira Abdul Aziz
Pusat
Pengajian Umum, UKM
Dari sudut
bahasa, istilah ‘kerajaan’ berasal daripada perkataan ‘raja’.
Hubungan kebahasaan ini memberi gambaran bahawa tidak dinamakan
kerajaan tanpa adanya raja. Keabsahan sistem beraja sebagai suatu
sistem pemerintahan Islam didasarkan kepada banyak nas-nas Al-Quran
dan Sunnah. Antaranya ialah firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“…Kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) kerajaan dan
hikmah…”(Al-Baqarah, 2: 251). Dia juga berfirman (maksudnya):
“Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau
berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut
kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki…”(Ali ‘Imran, 3: 26).
Manakala Nabi
s.a.w. pula bersabda: “Sistem khilafah mengikut manhaj kenabian
berterusan di kalangan umatku selama tiga puluh tahun, kemudian
diganti oleh sistem beraja, Allah memberikan kerajaan kepada sesiapa
yang dikehendakiNya”. (Abu Daud, no: 4647 dan At-Tarmizi, no:
2226). Hadith ini dinilai sahih atau hasan oleh Abu Daud,
At-Tarmizi, Ibn Taimiyyah, As-Suyuti, Al-Munawi, Al-Albani,
Al-Wadi’iyy r.a dan lain-lain.
Dalam hadith
lain, baginda juga bersabda (maksudnya): “…Sesungguhnya tiada
lagi nabi selepasku, sebaliknya akan ada para khalifah yang
ramai, tunaikanlah bai’ah ketaatan mengikut keutamaan siapa
yang dulu”. (Al-Bukhari, no: 3455 dan Muslim, no: 1842). Ungkapan
‘yg ramai’ menunjukkan bahawa ia termasuk golongan raja selepas
zaman khalifah, kerana Khulafa’ Rasyidin tidak ramai, manakala
ungkapan ‘mengikut keutamaan siapa yang dulu’ menunjukkan adanya
perselisihan di kalangan para raja, sedangkan Khulafa’ Rasyidin
tidak berselisih pendapat sesama mereka. (Majmu’
Fatawa, 35: 20).
Para
pemerintah kerajaan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan Bani
Uthmaniyyah memakai gelaran khalifah, meskipun sistem pemerintahan
mereka pada hakikatnya adalah sistem beraja yang diwarisi oleh ahli
keluarga. Bahkan ramai dari kalangan para anbiya’ seperti Nabi
Daud, Sulaiman, Yusuf dan Ibrahim a.s. adalah raja yang memerintah.
Allah S.W.T. menganugerahkan mereka dan ahli keluarga mereka sebuah
kerajaan yang hebat. Allah S.W.T. berfirman (maksudnya):
“…Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan hikmah kepada
keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang
besar. (An-Nisa’, 4: 54).
Ayat-ayat
Al-Quran dan hadith di atas, difahami sebagai satu iqrar (akuan)
syara’ bagi sistem beraja. Walau bagaimanapun, pengiktirafan
institusi Raja sebagai sistem pemerintahan Islam bukan beerti meredai
segala kazaliman yang dilakukan oleh mana-mana raja yang memerintah.
Kezaliman tetap kezaliman, tetapi mencegah kezaliman raja bukan
dengan cara meruntuh atau menghapuskan institusi berkenaan,
sebaliknya melalui cara yang lebih berhikmah.
Kedudukan
institusi raja sebagai suatu sistem pemerintahan Islam sering
dipertikaikan. Antara kelompok terawal yang mempertikaikan sistem ini
ialah golongan Khawarij dan Muktazilah. Menurut Ibn Taimiyyah (M 728
H), pendapat yang lebih sederhana dalam hal ini ialah yang mengatakan
sistem beraja itu harus mengikut keperluan atau ia harus jika boleh
merealisasikan tujuan pemerintahan. (Majmu’
Fatawa Ibn Taimiyyah,
35: 24).
Doktrin Al-Imamah
Antara
kelompok yang dilihat paling tegas menentang institusi raja ialah
golongan Syiah. Ketegasan mereka ini ada kaitan dengan
doktrin al-Imamah (kepimpinan
Imam Syiah) yang mereka anuti. Golongan Syiah mengimani
perkara al-Imamah ini
sebagai rukun Islam. Semua kitab sumber syiah, sama ada yang
lama atau baru, sepakat menekankan konsep kepimpinan Imam Syiah ini
sebagai rukun Islam. Al-Kulaini misalnya, meriwayatkan kata-kata Abu
Ja’far (maksudnya): “Islam itu terbina di atas lima perkara,
(iaitu) di atas solat, zakat, puasa, haji
dan al-wilayah (al-Imamah)…”.
(Usul al-Kafi,
2: 18). Berdasarkan doktrin ini, puak syiah hanya mengiktiraf
kerajaan yang dipimpin oleh Imam-imam atau wakil imam mereka.
Kesan buruk
daripada doktrin ini bukan setakat mendorong mereka untuk
mengkafirkan sesiapa saja yang tidak mempercayainya, bahkan ia juga
mendorong mereka untuk tidak mengiktiraf mana-mana kerajaan yang
tidak ditegakkan di atas prinsip tersebut, meskipun ia kerajaan
pimpinan Khulafa’ Rasyidin. Dalam konteks ini, ulama syiah berkata:
“Sesungguhnya mereka (Khulafa’ Rasyidin) adalah para perampas
yang jahat, murtad dari agama, semoga Allah melaknati mereka dan
orang yang mengikuti mereka, kerana kezaliman mereka ke atas ahlul
bait yang terdahulu
dan yang terkemudian”. (Bihar
al-Anwar, 4: 385). Jika
pemerintahan Khulafa’ Rasyidin pun mereka tidak iktiraf, bahkan
mereka laknat, maka pemerintahan beraja selepas itu lebih-lebih
lagilah mereka menolaknya.
Kesan daripada doktrin ini juga,
golongan syiah telah mengkafir dan melaknat negara-negara Islam yang
tidak dipimpin oleh para Imam syiah. Sehingga mereka pernah berkata:
“Penduduk Syam lebih jahat daripada penduduk Kristian Rom, penduduk
Madinah lebih jahat daripada penduduk Makkah, manakala penduduk
Makkah itu pula telah kufur terhadap Allah secara nyata”. (Usul
al-Kafi, 2: 409). Syiah
juga pernah mengecam penduduk Mesir dengan berkata: “Penduduk Mesir
dilaknat melalui lidah Daud a.s., lalu Allah menjadikan sebahagian
mereka kera dan babi”. (Bihar
al-Anwar, 60: 208).
Mereka juga pernah berkata: “Sejahat-jahat negeri adalah negeri
Mesir, ketahuilah bahawa ia adalah penjara bagi golongan yang
dimurkai Allah dari kalangan Bani Israel”. (Bihar
al-Anwar, 60: 210).
Kemuncak bagi doktrin anutan syiah
ini ialah gerakan revolusi bagi menjatuhkan sistem beraja, seperti
yang berlaku di Iran pada tahun 1979. Revolusi Syiah Iran sama
seperti revolusi Eropah tajaan pemodal elit Yahudi yang bertujuan
menghapuskan institusi raja dan agama. Institusi raja sangat tidak
disenangi oleh Yahudi Zionis, kerana kewujudannya mengekang
perancangan hegemoni mereka untuk melahirkan New World Order. Bagi
melancarkan rancangan tersebut, maka kekangan daripada institusi raja
dan agama perlu dihapuskan terlebih dahulu. Bermula dengan kerajaan
Bavaria, maka satu persatu kerajaan beraja di Eropah dihancurkan
melalui gerakan revolusi.
Pengaruh
Pemikiran Syiah
Doktrin al-Imamah tajaan
puak syiah telah menyerap ke dalam pemikiran gerakan-gerakan Islam
seluruh dunia, termasuklah gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir.
Mereka pernah bersekongkol dengan pihak tentera untuk menggulingkan
kerajaan beraja di Mesir. Mereka juga menyokong revolusi Syiah
di Iran dan mereka tidak mengiktiraf pemerintahan beraja
Negara-negara Arab Teluk. Gerakan-gerakan Islam di Malaysia juga
tidak terlepas daripada pengaruh Syiah dan Ikhwan al-Muslimin dalam
konteks penolakan institusi raja.
Hari ini,
ramai yang terpinga-pinga mencari jawapan, kenapa kerajaan
Negara-negara Arab Teluk menyokong As-Sisi dan tidak menyokong Mursi?
Jawapannya ialah kerana Mursi lebih rapat dengan Syiah Iran dan
beliau berterus terang tidak mengiktiraf sistem beraja.
Justeru, timbul kebimbangan di pihak Raja-Raja Arab kemungkinan
revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir akan merebak ke
Negara-negara mereka. Bahkan benih-benih percubaannya telah mula
disemai melalui demonstrasi jalanan yang berlaku di Arab Saudi, UAE
dan Bahrain. Bertanya papan kepada paku: “Kenapa engkau menyepit
aku?”. Maka jawab paku: “Tanyalah orang yang ketuk aku”.
Raja-Raja Arab merasa tersepit kerana Mursi dan Ikhwan al-Muslimin
terlebih dahulu mengetuk kedaulatan Negara mereka. Inilah antara
kesilapan Mursi yang paling besar.
Dalam konteks
Malaysia, pengaruh pemikiran Syiah dan Ikhwan al-Muslimin dari segi
penolakan sistem beraja sangat kuat. Forum dan ceramah yang
mengkritik konsep ketuanan melayu sering diadakan di sana sini.
Generasi muda diasuh sedikit demi sedikit supaya tidak menghormati
institusi raja. Malah ada professor universiti yang tidak mengiktiraf
ulama yang menerima gelaran kurniaan raja, kerana kononnya ia memberi
signifikan pengiktirafan terhadap institusi raja. Ironinya, ramai
pula yang lantang menolak konsep ketuanan melayu dikurniakan gelaran
diraja. Jika tiada kesedaran, revolusi boleh berlaku di mana sahaja.

No comments:
Post a Comment