Tuesday, 10 June 2014

AJK Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling kena saman






SELAMAT MENILAI DENGAN MENGKAJI,INSYA-ALLAH ALLAH BUKA MATA PARA KARKUN
Ahli qariah Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling yang juga pusat kegiatan bagi Jemaah Tabligh- mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli jawatankuasa masjid berkenaan kerana didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab dan juga didakwa melakukan penyelewengan dalam pentadbirannya.

Kontraktor Rashdan Mohamed Ridzuwan, yang memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, juga menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai defendan kedua kerana didakwa gagal bertindak terhadap jawatankuasa tersebut setelah aduan mengenainya dibuat setahun yang lalu. 

Beliau antara lain mendakwa, jawatankuasa itu telah menipu jemaah masjid berhubung penggunaan air, kononnya ianya percuma dari kerajaan Malaysia kerana digunakan untuk tujuan ibadat, walhal terdapat bil-bil air tertunggak selama lebih kurang 10 tahun berjumlah RM242,000. 

Rashdan yang dikatakan mewakili lebih 300 kariah masjid tersebut, juga mendakwa penyelewengan telah berlaku dalam pembahagian tender kantin masjid tersebut di mana tiada penawaran tender terbuka telah dibuat. 

Sebaliknya, kata beliau, seorang dari ahli jawatankuasa masjid telah diberi tender menjalankan kantin tersebut sejak 10 tahun yang lalu, 

Beliau juga mendakwa jawatankuasa tersebut gagal menyediakan laporan kewangan masjid dan telah menggagalkan usaha untuk mendapatkan "Sijil Layak Menduduki (CF)" walaupun masjid itu sudah beroperasi sejak tahun 1995. 

Pohon pengisytiharan mahkamah 

Beliau meminta Mahkamah Tinggi membuat satu deklarasi bahawa jawatankuasa masjid tersebut telah gagal dalam menjalankan kewajipan statutori dan tanggungjawab sebagaiman yang termaktub didalam Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah Wilayah persekutuan 1987. 

Beliau juga meminta mahkamah memecat semua ahli jawatankuasa sekiranya dakwaan-dakwaan beliau terbukti benar. 

Beliau juga mahu satu deklarasi dibuat terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana gagal menegakkan keadilan dan gagal untuk mengawasi penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa. 

Masjid Jamek Sri Petaling sebuah masjid yang lengkap dengan madrasah, kuarters guru dan asrama murid merupakan pusat kegiatan bagi lebih sejuta ahli Jemaah Tabligh di Malaysia sejak ianya siap dibina pada 1995. 

Pembinaannya yang menelan belanja lebih RM4 juta, telah dibiayai secara sukarela oleh sekumpulan individu yang kebanyakannya di kalangan ahli jemaah Tabligh. 

Dalam affidavitnya, Rashdan memberitahu dewan kantin masjid tersebut pada asalnya adalah hanya dewan makan di mana makanan yang disediakan kepada jemaah-jemaah tabligh luar negara yang datang dari seluruh dunia. 

Laporan polis 

"Bagaimanapun dewan makan tersebut telah dijadikan kantin dan saya dimaklumkan bahawa pengusaha kantin adalah salah seorang dari ahli jawatankuasa yang juga syura bagi jemaah Tabligh Malaysia," katanya dalam dokumen tersebut. 

"Yang dipertikaikan, bagaimana ahli jawatankuasa masjid sendiri menjalankan perniagaan yang mana bertentangan dengan kepentingan dirinya dan kedudukannya sebagai salah seorang ahli jawatankuasa. Berkenaan penyelewengan ini juga telah dibuat laporan polis." 

Beliau juga mendakwa ada di antara ahli jawatankuasa yang telah cuba menghalang pihak perunding dan kontraktor yang dilantik dari meyiapkan kerja-kerja pembinaan dan sekaligus menghalang usaha-usaha mendapatkan CF. 

Rashdan - yang diwakili oleh peguam Boestamam Ahmad - memberitahu wakil media semalam bahawa beliau memfailkan saman kerana tidak sanggup melihat penipuan dan penyelewengan itu berterusan. 

"Keadaan sekarang amat membimbangkan kerana masjid ini dibina untuk beribadat. Kami mahu perkara yang tidak menyenangkan ini berhenti sama sekali," katanya ketika ditemui di mahkamah semalam.
http://www.malaysiakini.com/news/33686


No comments:

Post a Comment