Kisah Abu Jandal dan Abu Basyir
Dalam Perjanjian Hudaibiyah
ﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻴﻜﻢ
Pada tahun ke enam Hijrah, Rasulullah
sallallahu 'alaihi wasallam ingin berumrah dan
berziarah ke Makkah. Khabar ini kemudiannya
diketahui oleh orang-orang kafir Makkah dan
ini membuatkan mereka berasa terhina
sehingga mereka merangcang untuk
menghalang perjalanan Rasulullah di suatu
tempat bernama Hudaibiyyah. Ketika itu
Baginda bersama para sahabat telah bersiap
sedia untuk mengorbankan jiwa dan raga ke
jalan Allah subhanahu wa ta'ala. Namun demi
kebaikan penduduk Makkah, Rasulullah tidak
mahu terjadinya peperangan. Baginda
berusaha mengadakan perjanjian dengan
penduduk Makkah. Walaupun para sahabat
telah bersedia untuk berperang, Nabi tetap
mengadakan perjanjian dan menerima baik
syarat-syarat yang mereka nyatakan.
Hakikatnya para sahabat amat tertekan dengan
perjanjian itu termasuklah Umar al-Khattab
yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan
berani. Namun mereka tidak mampu berbuat
apa-apa kerana jiwa dan raga mereka telah
diserahkan untuk mentaati perintah Allah dan
RasulNya. Mereka akur dengan perjanjian yang
dilihat tidak menguntungkan umat Islam
ketika itu.
Antara isi kandungan perjanjian itu ialah
orang-orang kafir yang telah memeluk Islam
dan berhijrah harus kembali semula ke
Makkah dan orang Islam yang murtad tidak
akan dikembalikan kepada kaum Muslimin.
Belum sahaja selesai perjanjian itu, seorang
sahabat bernama Abu Jandal radhiallahu 'anhu
yang telah ditahan, diseksa dan dirantai oleh
orang kafir lantaran keislamannya tiba-tiba
rebah saat mendengar isi perjanjian tersebut.
Dia berharap dapat bersama kaum Muslimin
dan bebas dari musibah yang dialaminya
dahulu. Ayahnya yang bernama Suhail , ketika
saat perjanjian itu masih belum memeluk
Islam menampar Abu Jandal lalu memaksanya
agar kembali ke Makkah. Beliau merupakan
wakil orang kafir dalam perjanjian
Hudaibiyah.
Rasulullah lalu berkata, "Perjanjian belum
diputuskan, maka belum ada apa-apa
peraturan yang akan berlaku." Namun Suhail
tidak mempedulikannya dan terus memaksa
Jandal agar pulang ke Makkah. "Aku meminta
agar ada seorang yang diserahkan kepadaku"
kata Baginda. Namun kaum kafir menolak
permintaan itu. Abu Jandal kemudian berkata
kepada kaum Muslimin, "Aku datang untuk
Islam kerana banyak penderitaan yang telah
aku alami. Sayang sekarang aku akan
dikembalikan lagi kepada kaum kaffir." Hanya
Allah sahaja yang mengetahu betapa sedihnya
sahabat ketika mendengar ucapa Abu Jandal
itu. Atas nasihat Rasulullah, Abu Jandal
kemudian bersedia untuk kembali ke Makkah.
Baginda berusaha menghiburkan hatinya dan
menyuruhnya agar tetap bersabar atas ujian
itu kemudian bersabda: "Dalam waktu
terdekat, Allah akan membuka jalan buatmu."
Setelah perjanjian Hudaibiyah selesai, seorang
sahabat bernama Abu Basyir radhiallahu 'anhu
melarikan diri ke Madinah setelah
keislamannya. Kaum kuffar Makkah mengutus
dua orang ke Madinah untuk membawanya
pulang ke Makkah. Sebagaimana yang telah
terkandung dalam perjanjian Hudaibiyah,
maka Baginda memulangkan semula Abu
Basyir kepada mereka lalu Abu Basyir berkata,
"Ya Rasulullah, aku datang setelah menjadi
Muslim, dan engkau mengembalikan aku
kepada kaum kuffar?". Rasulullah
menasihatinya agar bersabar lantas bersabda,
"InsyaAllah, sebentar nanti Allah akan
membukakan jalan bagimu." Akhirnya Abu
Basyir dikembalikan ke Makkah bersama dua
orang utusan tersebut.
Di tengah perjalanan, Abu Basyir berkata
kepada seorang utusan tersebut, "Hai kawan,
pedangmu bagus sekali." Disebabkan pujian
tersebut, utusan itu merasa bangga lalu
mengeluarkan pedangnya, "Ya. aku sudah
membunuh ramai orang dengan pedang ini."
sambil menunjukkan pedang tersebut kepada
Abu Basyir. Apabila pedang itu berada di
tangannya, dia lantas menebas pemilik pedang
tersebut. Ketika utusan lain melihat temannya
telah terbunuh, dia ketakutan dan berasakan
bahawa dirinya juga akan menerima nasib
yang sama lalu melarikan diri ke Madinah.
Setibanya di hadapan Rasulullah utusan
tersebut berkata, "Temanku telah dibunuh dan
sekarang dia (Abu Basyir) ingin membunuhku
pula."
Ketika itu juga Abu Basyir tiba di hadapan
Baginda seraya berkata, "Ya Rasulullah,
engkau telah memenuhi janjimu dengan
mereka dan aku pun telah dipulangkan,
namun aku tidak memiliki janji apa pun yang
menjadi tenggungjawabku ke atas mereka. Ku
lakukan semua ini kerana mereka berusaha
mencabut agama Islam dariku." Rasulullah
sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Kamu
telah menyalakan api peperangan, kalaulah
ada yang dapat membantumu.." Atas sabda
itu, Abu Basyir dapat memahaminya iaitu jika
ada kaum kafir yang mahu membawanya
kembali ke Makkah selepas ini, ternyata dia
akan dikembalikan. Akhirnya dia memutuskan
untuk pergi ke sebuah tempat yang dekat
dengan pantai. Berita ini sampai kepada
penduduk Makkah termasuk Abu Jandal yang
dikembalikan ke Makkah sebelumnya. Beliau
kemudian melarikan diri ke tempat Abu Basyir
termasuk dengan orang-orang Islam yang lain
yang berada di Makkah. Mereka semua
bergabung lalu menjadi sebuah kabilah kecil.
Kawasan disitu langsung tidak ada penghuni
dan dikelilingi hutan sahaja. Hanya Allah
sahaja yang mengetahui keadaan sebenar
mereka disana. Namun mereka membuktikan
bahawa mereka berjaya menenteng kaum
kuffar yang menzalimi umat Islam dan
bergabung membentuk suatu kumpulan yang
kuat. Mereka berjaya mematahkan serangan
dari kaum kafir yang cuba menyerang
sehingga kaum kuffar itu berasa ketakutan
yang akhirnya membawa kepada kelancaran
perjanjian Hudaibiyyah. Rasulullah sallallahu
'alaihi wasallam memanggil mereka kembali
pulang melalui surat dan ketika surat itu
sampai ke tangan Abu Basyir, beliau sedang
menderita sakit parah lalu wafat bersama-
sama surat Rasulullah di tangannya.
(Diriwayatkan dalam Fath al-Bari fi Syarh
Sahih Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalaini)
Wednesday, 18 June 2014
KISAH SAHABAT R.a REBELS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment