Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim
Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di
bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang
sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih
3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak
pemerintah daripada regim Barisan Nasional
untuk melakukan aksi penangkapan ke atas
seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam
Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-
Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra
dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama
sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan
pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah
berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia.
Beliau yang telah sekian lama bersama PAS
akhirnya mengambil keputusan meninggalkan
Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya
memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam
walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh
Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf
sebagai pendakwah terbaik.
Dengan suaranya yang lantang dan tegas
menghadapi kezaliman-kezaliman pihak
pemerintah ketika itu yang diketuai oleh
Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin
Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti
dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan
penyokong dan pendokong gerakan Islam.
Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan
oleh pemerintah adalah merupakan diantara
perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau
selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak
memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta
jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah
lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari
amalan korupsi dan sebagainya membuatkan
Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi
semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk
membuat perubahan dalam kepimpinan
Negara.
Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat
Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan
Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak
pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka
yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang
selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan,
fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada
PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan
dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah
dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim.
Kerjasama antara pemerintah dengan pihak
keselamatan mula dilakukan dengan hebat.
Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali
dipantau dan dikepung hampir seminggu
lamanya. Pertambahan bilangan anggota
keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin
menghadapi satu bala tentera musuh yang
besar atau pengganas yang sangat merbahaya
yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut
yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim
dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di
dada akhbar bagi mengelabui mata orang
awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar
anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan
anak muda di Madrasah yang dibinanya
dimaklumkan mengajar fahaman salah dan
sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh
menjelang operasi.
Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir
segenap penjuru kampung telah terkepung,
dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar.
Penduduk Kg. Memali yang begitu setia
bersama guru mereka terus bermunajat kepada
Allah memohon keselamatan dan bantuan.
Persiapan persenjataan ala kadar dengan
senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi
mereka mempertahankan diri dan nyawa yang
diancam adalah satu kewajipan yang sangat
besar. Namun apalah sangat dengan senjata
‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah
yang mengahantar bala tentera dengan
kelengkapan seolah-olah menghadapi
peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta
perisai disediakan, lori water canon, gas
pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis
disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan
segala macam kelengkapan lain.
Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan
akibat berlainan maklumat yang diterima
mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada
yang mendapat maklumat, mereka akan
menggempur perkampungan saki baki Komunis
dan ada yang mendapat maklumat mereka akan
menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan.
Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi
pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur
juga walaupun ada yang mengetahui bahawa
dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas
kejadian, maklumat diterima bahawa pada
malam serangan ingin dilakukan iaitu malam
18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis
bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai
polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis
yang terlibat didalam operasi ini termasuklah
dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.
Antara watak utama dibelakang operasi yang
disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.
PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi
Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri .
Mereka inilah yang memainkan peranan utama
bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim
Libya pada tarikh tersebut.
Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985,
selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus
memberikan taujihat penuh bermakna kepada
para pendokong perjuangan yang terdiri
dikalangan anak-anak muridnya yang setia
dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain,
beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah
supaya jangan ada yang lari dari perjuangan
yang sedang dihadapi ini serta menyebut
mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli
jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk
tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak
pemerintah. Mereka rela mati demi
mempertahankan As-Syahid.
Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim
ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah
(sudah meninggal). Mereka inilah antara yang
kerap melakukan rundingan dengan pihak
keselamatan pada hari tersebut agar
mengelakkan berlakunya pertumahan darah
khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas
dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan
dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana
baginya, beliau tidak melakukan apa-apa
kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya
memberi nasihat kepada pemerintah yang
begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme
dan Sekularisme yang bertentangan dengan
Islam.
Berita kehadiran anggota polis untuk
menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya
dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang
berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan
mereka juga terdapat anggota-anggota yang
sering mengikuti pengajian-pengajian agama
daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang
dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg.
Memali dan memberikan peringatan kepada
pasukan polis agar mengelakkan serangan.
Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang
membuatkan pihak polis tidak mempedulikan.
Dikalangan anggota tentera ini ada yang
menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh
jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu
mereka meninggalkan tempat tersebut.
Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi
bertemu mereka, akhirnya orang kampung
diberi arahan agar berundur ke belakang.
Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk
menerima arahan tersebut tidak semudah itu.
Penduduk kampung yang terdiri dikalangan
orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak
kecil dengan penuh keberanian melaungkan
kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi
menggerunkan pihak musuh. Parang panjang
yang sering digunakan dikebun untuk tugasan
harian, digenggam erat bagi menghadapi
kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan
parang dan buluh-buluh panjang menghalau
pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih
tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi
pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.
Pihak keselamatan yang panik akhirnya
melepaskan gas pemedih mata dan water
canon ke arah orang kampung yang kukuh
berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-
kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan
dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak
kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang
penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu
Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas.
Parang ditangan digenggam dan terus berlari
ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum
sempat parangnya singgah ke tubuh anggota
polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi
dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama
tragedi tersebut.
Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila
serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis
dilakukan. Seorang demi seorang tumbang
menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan
Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar.
Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh
ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan
Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau
menghembuskan nafas. Beliau sempat
bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri
menjawab, “abang ditembak”.
Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai
turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat
yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah
yang rakus mengahdapi rakyat yang serba
kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan
segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat
ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia.
Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam
trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan
beberapa ekor anjing buat menemani para
syuhada’. Ada penduduk kampung yang
tercedera disepak terajang. Mereka menyebut,
“ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk
kampung disumbat ke dalam trak polis untuk
dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke
hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai
kepada media atau orang ramai. Tahanan
diugut agar merahsiakan kejadian.
Gambar As-Syahid Ust Ibrahim Libya (kiri
bawah sekali)
Beberapa hari kemudian barulah mereka
dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula
dengan bilangan korban seramai 14 orang
semuanya. Maka bermulalah perbalahan
diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa
Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka
mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain
mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan
sebagai orang mati syahid. Pandangan ini
diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok
Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini
mati kerana mempertahankan agama dan
nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama
dibawah pemerintah, mereka terus ditekan
untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain
mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan
Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati
biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan
mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai
syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta
pakaian mereka yang masih basah dengan
darah yang terus mengalir walaupun telah
beberapa hari ditembak.
Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa
kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak
berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam
fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh
Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini)
iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau
memperalatkan beberapa klip video tragedi
Memali ini untuk menyerang PAS sebagai
gerakan ekstremis, radikal, militan dan
sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan
menggambarkan orang PAS menyerang anggota
keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi
Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak
bersalah dan mencederakan beberapa anggota
polis yang memang mereka ini tidak tahu pun
tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh
tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan
seorang demi seorang orang kampong yang
sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk
memfailkan saman kepada kerajaan Barisan
Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.
Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS
mengadakan sambutan memperingati Tragedi
Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota
polis yang secara diam-diam menyalurkan
sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu
syuhada’ dan memohon kemaafan atas
kesilapan mereka. Melihat kepada situasi
anggota polis yang sangat sedih dan terkilan
dengan kejadian ini yang bukan dengan
kerelaan mereka dan sangat terharu dengan
sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya
atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang
berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan.
Wallahua’lam.
Thursday, 26 June 2014
Pejuang Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment